Friday, June 12, 2009
Komentar - Menempatkan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan
Apabila Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk memberi pandangan tentang cadangan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris, ia secara langsung memberi mesej bahawa suara rakyat adalah diiktiraf.

Dalam dekad terakhir ini, kita hilang punca bagaimana untuk meletakkan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kebangsaan. Kita sedar bahawa dunia hari ini menekankan kepentingan bahasa Inggeris. Ia menjadi medium komunikasi global dan juga medium bahasa kepada perolehan ilmu yang kaya di luar negara.

Justeru, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar amat relevan dititikberatkan. Kerajaan sebenarnya telah mengambil langkah yang mengejutkan menerusi dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pendekatan formula ini tidak disenangi rakyat. Malah, ia dilihat menjadi ancaman kepada pelajar luar bandar dan juga memberi kesan negatif jangka panjang kepada pembentukan identiti nasional.

Umumnya, ada tiga aliran yang bersaing untuk meletakkan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pertama adalah kumpulan yang meyakini bahawa bahasa Inggeris adalah satu mata pelajaran yang mempunyai taraf yang sama seperti mata pelajaran lain. Iaitu apabila pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dilakukan dengan efisien, para pelajar akan dapat menguasainya dengan baik. Justeru, golongan ini mencadangkan agar kualiti pendidikan guru ditingkatkan dan kaedah pengajaran diberi penekanan.

Kedua adalah golongan yang percaya bahawa bahasa Inggeris hendaklah menjadi medium harian. Oleh kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa komunikasi bagi majoriti masyarakat Malaysia, maka satu ruang komunikasi menggunakan bahasa ini hendaklah diwujudkan. Maka ia hendaklah dipraktikkan di sekolah. Hasilnya lahirlah cadangan seperti PPSMI.

Ketiga adalah menerusi pendekatan motivasi bagi penguasaan bahasa Inggeris. Lantas, lahirlah konsep "wajib lulus" bagi sesuatu mata pelajaran. Kaedah ini pernah dilakukan pada 1980-an iaitu para pelajar tingkatan tiga yang menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) diwajibkan lulus mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu bagi melayakkan mereka ke tingkatan empat. Para pelajar bertungkus-lumus memastikan mereka dapat melepasi dua mata pelajaran tersebut pada masa tersebut.

Persoalan yang timbul ialah aliran manakah yang paling berkesan untuk memastikan para pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Atau wujudkah aliran pemikiran lain yang lebih logik, terbukti efisien, berpotensi diterima oleh rakyat dan juga mampu dilaksanakan?

Atas keadaan inilah, dalam soal pendidikan anak bangsa, lupakanlah seketika konflik dan polemik politik demi pencapaian kegemilangan pada masa depan.

Oleh MOHD. MAHZAN AWANG
Universiti Dundee, Scotland, UK
posted by ashiqeen @ 1:21 AM  
0 Comments:

Post a Comment

<< Home
 
About Me


Name: ashiqeen
Home: Batang Kali, Selangor, Selangor, Malaysia
About Me: Berasal dari Segamat, Johor dan sekarang menetap di Batang Kali, Selangor. Bersekolah rendah & menengah di Segamat, Johor. Kemudian sambung blaja kat KYPM Kuantan. Seterusnya sambung kat UUM plak. Nak sambung lagi tapi keje dulu la...(ntah bila la nak smbg smp dpt pangkat "Doktor" nih.:))Skang ni keje mengaja budak, belia, warga emas dan sape2 la yang nak blaja ttg komputer.Emm...dah jadi 'TunanG seseorang'pada 30 Muharram yang lalu = 27/01/2009 & bakal menjadi isteri org pada hujung tahun nanti. Nantikan Hari tersebut. Moga2 sume fmly n kengkawan dapat hadir pada majlis yang akan diadakan....
See my complete profile

Previous Post
Archives
Links
Template by
Blogger Templates